Find us on Facebook

Pengalaman bersalin di Wisma Bersalin Ikhwan, Country Homes, Rawang

Assalamualaikum. Dua hari lepas genap umur Huwainaa Khayra 14 bulan. Sudah pandai merajuk dan meminta sesuatu. Cuba kalau mama tidak bagi, terus dia rebahkan kepala atau badan atas lantai. Tanda merajuklah tu.


Pengalaman bersalin di Wisma Bersalin Ikhwan, Country Homes, Rawang | Bersalinkan anak kedua memang tidak sama dengan bersalinkan anak pertama. Memang betul sakit bersalin tetap sama cuma pengalamannya berbeza. Abang Thaqif dahulu kami ambil keputusan untuk bersalin di Hospital kerajaan iaitu Hospital Selayang yang lebih hampir dengan rumah.

Untuk anak kedua, kami memilih untuk bersalin di hospital swasta kerana hampir juga dengan rumah. Kami berpindah tempat tinggal ketika umur Thaqif 8 bulan waktu itu. Sewaktu disahkan mengandung, Fiza mula mendaftar diri di Klinik Kesihatan Batu Arang sewaktu usia kandungan 4 bulan. Agak lambat tetapi sebelum itu Fiza telah mendapatkan rawatan di Putra Medical Centre Sg.Buloh dan Poliklinik Ikhwan untuk scan janin.


Lega bila buku pink telah berada di tangan. Fiza tetap mendapatkan khidmat klinik kesihatan setiap bulan dan scan baby di hospital swasta untuk kepuasan diri sendiri dan memastikan baby benar-besar sihat dan membesar mengikut pembesaran yang ditetapkan.

HB rendah atau darah rendah ketika mengandung memang Fiza tidak dapat elakkan. Bila bacaan telah mencecah 10, waktu itu memang gelabah juga sebab ia amat merbahaya buat ibu dan bayi. Sesuatu perlu dilakukan. Supliment dan makanan menambahkan darah Fiza perlu ambil untuk elakkan risiko yang tidak elok terjadi. Alhamdulillah semuanya normal sebelum bersalin.

Berat badan Fiza juga tidak naik mendadak seperti mengandungkan si abang. Sebulan naik 1 kg kadang-kadang setengah kg. Ia tidak merbahaya janji baby sihat. Fiza juga terselamat daripada minum air gula kerana berat badan Fiza tidak naik mendadak dan terlepas daripada risiko diabetis atau kencing manis.

Bila usia kandungan 8 bulan, Fiza teruskan pemeriksaan setiap 2 minggu sekali di Poliklinik Ikhwan. Untuk bersalin di Wisma Bersalin Ikhwan, ibu mesti mendapatkan rawatan sekurang-kurangnya 2 bulan sebelum bersalin di poliklinik mereka supaya mereka dapat merekod kesihatan kita.

Pertama kali Thaqif melihat adiknya, nenek pegang baby

Tarikh dijangka bersalin adalah pada 22 Disember 2017. Fiza telah mengambil cuti untuk bersalin seminggu awal untuk berehat di rumah dan menunggu kelahiran sahaja. Teringin juga untuk lahirkan baby lebih awal seperti orang lain sebab tidak larat nak tunggu sehingga 40 minggu. Tetapi lupakan sahajalah niat itu. Thaqif dahulu terpaksa induce sehari sebelum tarikh jangka disebabkan pecah air ketuban dan Huwainaa pula kali ini lambat sehari. Mujur tidak induce. 


Pada 22 Disember 2017 jam 4 pagi, Fiza mula terasa sakit. Tetapi disebabkan tiada pengalaman sakit bersalin, kami terus bergegas ke Wisma Bersalin Ikhwan. Tiba di sana, doktor pun on call. Doktor bertanyakan kekerapan sakit dan waktu tersebut hanya sekali atau dua kali sahaja sakit. Bila diperiksa, jalan baru dibuka 2cm.

Kami dinasihatkan pulang dan doktor menasihatkan supaya datang apabila sakit datang kerap, dan banyak dalam masa sejam. Kami pun pulang ke rumah dahulu. Dan apabila pulang, tiada sebarang tanda dan sakit pula. Seharian Fiza menunggu untuk sakit datang. Tetapi masih tiada apa-apa. Yelah risau sebab due hari tersebut tapi baby masih tidak mahu keluar.

Kami pun bersabar sahaja, mungkin belum masanya lagi. Malam tersebut sebelum hendak  tidur, tiba-tiba sakit datang. Jam menunjukkan pukul 11.30 malam. Fiza hanya bertenang dan doktor nasihatkan untuk melihat kekerapan sakit dalam setiap minit. 

Lama-kelamaan sakit makin kerap, daripada setengah jam kepada 20 minit, kepada 10 minit, dan terus kami bergerak ke Wisma bersalin. Perjalanan lebih kurang 10 minit sahaja daripada rumah. Fiza dimasukkan ke bilik bersalin jam 12.15 tengah malam. Apabila diperiksa bukaan telah mencecah 8 cm dan bersedia untuk bersalin. 

Berkumandang ayat suci al-quran di dalam wisma bersalin menjadikan suasana waktu itu terasa sangat tenang walaupun sakit bersalin memang tidak dapat digambarkan. Memang Fiza puji sangat suasana sebegini dan sepatutnya dilaksanakan juga di hospital lain.

23 Disember 2017, Ahad, jam 12.57 tengah malam, Fiza selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.5kg secara normal. Alhamdulillah kerana segalanya dipermudahkan walaupun lambat sehari. 


Fiza dipisahkan dengan baby selama 6 jam kerana untuk memberi rehat kepada si ibu. Sepanjang malam Fiza tidak dapat tidur kerana hendak bertemu dengan baby tetapi apa yang boleh Fiza lakukan, hanya berbaring dan menunggu waktu subuh. Terasa tidak sabar untuk pegang baby lagi. Hanya terdengar tangisan Huwainaa waktu itu bersama baby lain yang lahir pada tarikh yang sama.

Waktu subuh, nurse serahkan Huwainaa kepada Fiza, seronoknya bila dapat pegang dan bau baby baru lahir. Memang Fiza cium puas-puas sebab pengalaman ini hanya sekali seumur hidup. 

Pukul 3 petang hari yang sama, selepas makan tengah hari, kami dibenarkan untuk discharge. Tidak sabar hendak bawa baby baru ke rumah sebab ramai saudara yang menunggu untuk bertemu Huwainaa.

Begitulah pengalaman Fiza melahirkan Huwainaa Khayra di Wisma Bersalin Ikhwan yang terletak di Country Homes, Rawang. Fiza puji akan kecekapan doktor, nurse dan pembantu yang berkhidmat di situ. Seronok berada di Wisma Bersalin Ikhwan.

Wassalam.

Post a Comment

6 Comments

  1. best baca pengalaman bersalin..:)

    ReplyDelete
  2. Boleh tau tak berapa harga bersalin disana?

    ReplyDelete
  3. salam..brp ye bayaran bersalin di pusat bersalin ikhwan ni ye?

    ReplyDelete
  4. This klinik only for bumiputra ..non bumi can ah...

    ReplyDelete
  5. Boleh pilih doktor perempuan tak?

    ReplyDelete