Assalamualaikum. Bab-bab agihan zakat selalu dipertikai oleh netizen. Sebab itu pentingnya kita membaca dan mendalami agama Islam dan bukan dengan hanya melemparkan komen negatif dan menghasut. Mengambil contoh situasi yang suatu ketika dahulu pernah hangat diperkatakan mengenai zakat untuk LGBT. Betapa ramai netizen yang menghentam Lembaga Zakat Selangor dan menuduh bahawa golongan tersebut tidak layak mendapat zakat.
Harus kita faham golongan LGBT, Homoseksual, Gigolo dan seangkatan dengannya adalah dikategorikan sebagai Ar-Riqab. Zakat yang diperuntukkan untuk golongan sebegini bukan dalam bentuk menggalakkan mereka teruskan hidup mereka sebagai apa yang dipilih, tetapi bantuan menuju proses pemulihan dan kemerdekaan kepada mereka.
Golongan Asnaf Ar-Riqab, MAIS sedia bantu supaya mereka kembali ke pangkal jalan | Asnaf Riqab tergolong dalam 8 golongan asnaf yang berhak menerima zakat Ar-Riqab. Antara 7 lagi golongan yang asnaf yang layak menerima zakat adalah fakir, miskin, amil, muallaf, Al- Gharimin, Fisabilillah dan Ibnu Sabil.
“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”
Memetik dari sumber berita Sinar harian Online pada 30 April 2021, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyerahkan sumbangan RM2.02 juta kepada Rumah Pemulihan Al-Riqab (RPA) menerusi Geran Sukuan Pertama Tahun 2021 bagi membantu kebajikan golongan asnaf riqab.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/136181/EDISI/MAIS-sumbang-RM202-juta-bantu-golongan-asnaf-riqab
Dan kemudiannya saya terbaca di Berita Harian online yang mana artikel tersebut telah diterbitkan pada 31 Ogos 2021 baru-baru ini, MAIS peruntuk RM16 juta bimbing asnaf riqab. Peruntukan dan Sumbangan yang menggunakan peruntukan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tersebut melibatkan sebanyak 27 buah RPA sekitar Selangor di bawah seliaan MAIS.
Jadi siapa sebenarnya golongan asnaf riqab ini? Mengapa MAIS sangat mengambil berat terhadap golongan ini?
Maksud Al-Riqab
Ar-riqab adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat. Menurut Fatwa Negeri Selangor “Riqab adalah seorang yang terbelenggu di bawah satu kuasa yang menghalang kebebasan dirinya”. Mereka adalah golongan yang terbelenggu dengan masalah-masalah diri yang sangat besar dan boleh dikategorikan dalam dosa-dosa besar juga.
Mungkin ada antara golongan ini benar-benar memerlukan bantuan tetapi tidak menjumpai saluran mana yang harus mereka tuju. Inilah yang perlu dikongsikan oleh masyarakat di luar sana, terutamanya kita yang beragama Islam untuk sama-sama membantu mereka kembali kepada fitrah manusia yang sebenar.
Peranan MAIS dalam Membangunkan Asnaf Al-Riqab
Dengan Visi “Membangunkan asnaf Al Riqab ke arah mendapatkan keredhaan Allah” dan Misi “Menawarkan Perkhidmatan Yang Cemerlang Dalam Aspek Pendaftaran,Perawatan, Pemulihan, Perlindungan Dan Pengawalan, Secara Menyeluruh Dan Berkesan Kepada Asnaf Al Riqab Berlandaskan Al Quran Dan As Sunnah", menunjukkan bahawa pihak MAIS sangat memandang berat terhadap golongan ini.
Peruntukan wang zakat telah diperuntukkan dan digunakan bagi melaksanakan serta menjayakan program pemulihan, pembangunan termasuk pengurusan Ar Riqab di ibu pejabat serta di Baitul Ehsan, Baitul Iman dan Baitul Islah.
Dengan program sebeginilah, MAIS dapat membantu dan membimbing mereka yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan selain pelbagai bantuan lain supaya mereka kembali ke pangkal jalan.
Bahagian Pemulihan Riqab, MAIS
MAIS telah memperkasakan Bahagian Pemulihan Al-Riqab bagi melaksanakan penyerahan bantuan secara sistematik kepada asnaf al-riqab yang memenuhi syarat-syarat tersebut di atas.
Bantuan zakat asnaf Ar-Riqab ini akan disalurkan oleh pihak MAIS melalui perantara mana-mana institusi, pusat, NGO Islam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan Hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf al Riqab supaya dapat menjalani kehidupan dengan lebih sempurna menurut Islam.
Antara fungsi Bahagian Pemulihan Riqab adalah :
- Memperkasa dan menguatkuasa undang undang Riqab melalui Fatwa, Peraturan, SOP dan yang berkaitanMembangun dan melaksana modul Riqab dengan teratur berkesan
- Meningkatkan hubungan kerjasama dengan agensi luar bagi membebaskan asnaf Riqab
- Membebaskan mereka yang terjebak dalam masalah sosial dan akidah agar kembali bertaubat
- Mengawal selia Rumah Pemulihan Majlis serta menyelaras Rumah Pemulihan Riqab
- Mencegah penularan penyakit sosial dan akidah di kalangan masyarakat Islam
Jenis -jenis Golongan Asnaf Riqab
(1) Masalah sosial:
(a) Terbelenggu dengan dadah, seperti penagih dadah dan bekas penagih dadah.
(b) Terbelenggu dengan masalah jenayah syariah; seperti meminum arak, zina, judi, khalwat, buang anak dan mengandung luar nikah. Mempersendakan Al-Quran dan Hadis, Sumbang mahram, Persetubuhan haram, Muncikari (ibu ayam), menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam dan lain-lain yang berkaitan Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995.
(d) Terbelenggu dengan gaya hidup songsang; Pelacur, Lesbian, Mak Nyah (Transexual), Gay, Homoseksual, Gigolo, Biseksual, Pengkid, Tomboy, dan bersedudukan dengan orang bukan Islam.
(e) Terbelenggu dengan kes juvana seperti gangster, Jenayah melibatkan harta benda, rompak, pecah rumah, kes rogol, jenayah yang melibatkan peralatan senjata yang merbahaya, ugutan yang melibatkan keganasan dan banyak lagi yang berkaitan.
(f) Terbelenggu dengan penyakit kronik seperti ; Penyakit HIV/AIDS, Kanser/barah, Tibi, Hepatitis, dan lan-lain.
(2) Masalah Akidah:
(a) Terbelenggu dengan masalah syirik dan khurafat: Doktrin palsu, Mengaku menjadi nabi, Menghina Islam, Pemujaan salah dan mempersendakan Al-Quran dan Hadis.
(b) Memurnikan akidah orang Islam yang terpesong
Bagaimana asnaf Ar-Riqab akan dibantu?
Berasaskan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor 2011, peruntukan dari sumber zakat boleh digunakan bagi membebaskan umat Islam yang terbelenggu dengan masalah sosial dan akidah bagi memastikan mereka bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.
Fatwa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 7 Jun 2012 telah menggariskan bahawa kriteria penerima asnaf al-riqab iaitu hendaklah :-
1) Beragama Islam;
2) Tiada mempunyai sumber kewangan yang mencukupi;
3) Tidak mendapat bantuan daripada sumber-sumber lain;
4) Telah mendapat pengesahan pihak MAIS untuk membebaskan dirinya dari belenggu yang dihadapi; dan
5) Dengan rela hati mengikuti program pemulihan dan rawatan spiritual Islam yang dilaksanakan oleh pihak MAIS dan bersetuju menghadiri kelas-kelas bimbingan agama yang telah ditetapkan oleh pihak MAIS.
Konsep agihan wang zakat Asnaf Riqab
- pembayaran adalah berasaskan permohonan dan siasatan dan pengesahan
- meringankan bebanan
- pembayaran hanya kepada individu yang bersedia untuk menjalani pemulihan dan pemantauan yang diaturkan untuk mereka; dan
- usaha memulihkan akhlak dan akidah
Jenis Bantuan adalah seperti :
- bantuan pemurnian akidah
- bantuan pemulihan akhlak dan
- tabung pembebasan fi ar riqab
Contoh bantuan yang telah diberikan kepada Asnaf Al Riqab:
- Bantuan Sewa Rumah
- Bantuan Bulanan
- Bantuan Perubatan
- Bantuan Modal
- Bantuan Guru Pembimbing
- Bantuan Fi Guaman
- Bantuan Sumbangan Program/ Aktiviti
- Bantuan Pengurusan Jenazah
- Bantuan Pemulihan Asnaf di RPR
- Bantuan Individu Terkesan
- Bantuan Sumbangan Hari Raya
Jika seseorang individu yang datang melaporkan diri dan didapati menepati kriteria kriteria penerima asnaf al-riqab, pihak MAIS telah bersedia dengan 6 strategi Pemulihan Ar-Riqab dan akan bertindak menyantuni asnaf Riqab dengan :
- Mendaftarkan asnaf Al Riqab dan Rumah Pemulihan Al Riqab dengan kerjasama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan
- Merawat pelatih melalui dua cara iaitu rawatan rohaniyah dan rawatan secara klinikal
- Memberi sokongan material untuk mereka meneruskan kehidupan secara normal
- Mengawal dan mencegah aktiviti yang boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke lembah maksiat dan murtad
- Memulihkan akhlak dan motivasi pelatih melalui modul yang bersepadu dari segi fizikal , intelek , emosi dan rohani
- Melindungi para pelatih di tempat yang selamat bagi memastikan penyakit yang membelenggu pelatih tidak merebak kepada orang lain dan boleh dirawat
Berikut adalah 26 Senarai Rumah Rumah Pemulihan Al Riqab
1. Rumah Kebajikan Budi - Masalah Dadah /HIV/ AIDS (Lelaki)
2. Rumah Darul Ukhwah - Masalah Dadah /HIV/ AIDS (Lelaki)
3. Rumah Sahabat Perkid - Masalah Sosial (lelaki) (Lelaki)
4. Rumah Teduhan Kasih - Masalah Dadah /HIV/AIDS (Lelaki)
5. Rumah Sahabat - Masalah Dadah Sosial (Lelaki)
6. Rumah Hidayah Insani -Masalah Sosial (Lelaki)
7. Rumah Bela Insan - Masalah Dadah lelaki (Lelaki)
8. Rumah Darul Islah - Masalah Dadah Sosial (Lelaki)
9. Rumah Akhlak Insani - Masalah Sosial Dadah (Lelaki)
10. Rumah Usrah Fitrah - Masalah Sosial (Lelaki)
11. Rumah Baitul Islah - Masalah Sosial (Perempuan)
12. Rumah Raudhatus Sakinah - Masalah Sosial (Perempuan)
13. Rumah Kebajikan Perkid - Masalah Sosial (Perempuan)
14. Rumah Puteri Arafiah - Masalah Sosial (Perempuan)
15. Rumah Darul Islah Sg. Serdang - Masalah Sosial Lelaki (Perempuan)
16. Rumah Darul Wardah - Masalah Sosial (Perempuan)
17. Rumah Sinar Kasih - Masalah Sosial (Perempuan)
18. Rumah Safiyyah - Masalah Sosial (Perempuan)
19. Rumah Penawar - Masalah Dadah Sosial /HIV/AIDS (lelaki)
20. Rumah Prokim - Masalah Dadah Sosial (lelaki)
21. Rumah Darul Wardah - Masalah Sosial (Perempuan)
22. Rumah Bayt Rahmah - Perlindungan (lelaki
23. Rumah Penjagaan Damai - Masalah Mental Lelaki
24. Rumah PINTAS - Masalah Sosial Lelaki
25. Rumah Jagaan OKU Nur - Masalah Mental (Lelaki & Perempuan)
26. Rumah Penawar Sg.Panjang - Masalah Dadah /Mental (Lelaki)
MAIS juga telah mengambil inisiatif menganjurkan Kempen Bulan Pembebasan Riqab bermula 31 Ogos sehingga 30 September 2021 bagi memberi peluang masyarakat mendekati golongan asnaf riqab antaranya dengan penganjuran Webinar Riqab, LIVE Bicara Ar Riqab Bersiri, Ceramah Kesedaran Kesihatan dan Program Bimbingan Asnaf Riqab.
Bersama bebaskan diri dari belanggu Riqab
Betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab keluarga serta masyarakat dalam memastikan generasi sekarang tidak dijajah dengan Riqab. Bagi individu dan ahli keluarga yang tergolong dalam Ar-Riqab, diseru untuk mengambil langkah dan bimbingan segera. Pihak MAIS yang telah sedia menggalas tanggungjawab akan membantu golongan ini melalui Bahagian Pemulihan Riqab dan akan sentiasa memberi bimbingan kepada mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan dan menjadi mukmin yang diredhai Allah.
HIDAYAH itu milik Allah, namun ianya perlu dicari bukan dinanti. Sama-samalah berdoa agar mereka yang secara terang-terangan melakukan kesilapan turut dikurniakan hidayah, kerana mungkin mereka tidak tahu atau mungkin juga mereka tidak sedar bahawa mereka telah tersasar jalan. Semoga kita dan seluruh keturunan kita juga dijauhi dengan belanggu ini. Amin.
Info lebih lanjut, bantuan dan khidmat nasihat, layari maklumat di bawah:
Website : http://www.mais.gov.my/al-riqab/
Bahagian Pemulihan Ar-Riqab
Hubungi : 03-33614080
8 Comments
Alhamdulillah. Semoga dipermudahkan urusan semuanya
ReplyDeletePerkongsian yang bagus fiza..
ReplyDeleteAlhamdulillah bagus mais buat cmni.. Atleast terbela juga nasib golongan asnaf
ReplyDeleteAlhamdulillah.. Bagus sangat. Bantu golongan asnaf
ReplyDeleteMemang perlu bantu golongan seperti ni. Tak lah mereka rasa dipinggirkan kan.
ReplyDeleteBagus sangat perkongsian sis. Tak semua orang faham dan cakna dengan isu ni.
ReplyDeleteLike seriously? Ada zakat untuk golongan2 ni?
ReplyDeleteThanks for sharing this, so glad that there are kind hearted people who willing to help out.
ReplyDelete